Sarawak ketinggalan dibawah pimpinan Dr Mahathir

KUCHING: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersikap sambil lewa dan terlalu berada dalam zon selesa selama 22 tahun ketika menjadi Perdana Menteri punca utama kelewatan pembangunan Sarawak.

Malah, sikap sambil lewa Dr. Mahathir ketika menerajui kepimpinan negara menyebabkan Sarawak ketinggalan dalam konteks kemajuan berbanding negeri lain, walaupun negeri ini penyumbang utama ekonomi negara.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata tidak banyak usaha pembangunan dibawa Dr Mahathir ke negeri ini sepanjang 22 tahun beliau mengetahui kepemimpinan Kerajaan Pusat.

“Sepanjang 22 tahun itu, Sarawak sekadar mampu melihat pembangunan yang berlalu di Semenanjung, sedangkan keutuhan ekonomi negara sepanjang kepemimpinannya adalah dari hasil bumi bertuah ini.

tun mahathir

“Kemudian, beliau menyatakan orang kita ‘malas, tamak dan lembab’. Sebenarnya, beliau yang ‘malas’, beliau jarang melawat Sarawak, meninjau segala yang kita perlukan, menyebabkan negeri ini ketinggalan pembangunannya,” katanya.

Abang Johari berkata, beberapa inisiatif pembangunan, termasuk Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak diperkenalkan apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kepemimpinan negara.

“Ini adalah fakta sebenar. Datuk Seri Najib adalah pemimpin negara paling banyak melawat Sarawak, membawa bersama pelbagai projek pembangunan di negeri ini.

“Ia jelas memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Pusat di bawah kepemimpinan beliau untuk memastikan pembangunan setara antara Sarawak dan Semenanjung,” katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi BN Sarawak memberi jaminan beliau akan meneliti pelbagai opsyen untuk menjana pendapatan lebih besar untuk negeri ini, seterusnya dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan.

Abang Johari berkata, beliau memerlukan perwakilan yang kuat dari negeri ini, termasuk dari masyarakat Cina untuk menguatkan Sarawak dalam menuntut semula haknya yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Sama ada Melayu, Iban, Bidayuh atau Cina, kita semua Anak Sarawak. Marilah kita terus bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membina Sarawak menjadi sebuah negeri yang gemilang,” katanya.

 

Sarawak Online

Leave a comment